Siri Bercakap Dengan Jin

Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) adalah novel seram bersiri yang diterbitkan dalam majalah kecil Variasari sekitar April 1981- Januari 2005. Novel mistik ini telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an. Hasil popularitinya, majalah Variasari pernah dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan. Syarikat penerbitan Variapop Group terletak di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, dimiliki oleh Mustapa Ton. Variapop Group menerbitkan majalah hiburan Variasari dan Variapop. Selama hampir 30 tahun penulis Tamar Jalis menyembunyikan diri dari khalayak ramai. Akhirnya beliau keluar dari belantara sepi dengan nama sebenar Ahmad Mahmud atau Mohd Radzi Mahmud (73 tahun) berasal dari Beruas, Perak. Isteri beliau Maznah Mohd Isa berusia 63 tahun.[1]Siri Bercakap Dengan Jin telah ditulis oleh Tamar Jalis/Ahmad Mahmud dalam 284 siri dalam tempoh 23 tahun 6 bulan. Ia merupakan satu rekod Malaysia. Ada yang membandingkannya dengan penulis JK Rowling menerusi Harry Potter. Sebenarnya Siri Bercakap Dengan Jin berbentuk memoir autobiografi Tamar Jalis dengan datuknya Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah. Enam puluh peratus kandungannya berdasarkan kisah benar dan pengalamannya dengan datuknya pada zaman kanak-kanak mahupun remaja. Idea untuk menulis novel mistik SBDJ ini adalah untuk menaikkan jualan majalah Variasari. Ketika itu beliau berusia 40-an dan mahu serius dalam penulisan. Beliau merasakan perlu merakamkan pengalamannya mengikuti datuknya, seorang pengamal perubatan tradisional di sekitar negeri Perak. Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya daripada individu yang dirasuk jin memberi idea untuk beliau menulis. Rumahnya bersebelahan dengan rumah datuknya dan menjadi cucu kesayangan. Setiap kali datuknya pergi mengubat mereka yang kerasukan jin, cucu itu akan dibawa bersama.